Apakah yang tersembunyi di sebalik semua ini?…Namun keajaiban alam tersaksi apabila sampai waktu menetas, setiap anak penyu mengoyakkan kulit nipis telur, menguak timbunan pasir dan dengan tertib mengatur langkah ke dunia baru mencari gigi pantai. Kemudian seekor demi seekor berenang memulakan kayuhan ke arena sebenar seluas samudera. Ditengah lautan itu apabila sampai waktu menetas si ibu rupa-rupanya terapung dengan kakinya seperti pergerakan melambai-lambai mengirim gelombang ke arah darat, ke arah pasir ke arah dimana anak-anaknya sedang bertungkus lumus memulakan langkah hidup. Gelombang kasih ini menjadi tali temali menarik semua anak ke arahnya walau berada dalam jarak yang jauh dan di alam berbeza. Mereka kemudian berenang ke dunia kelam dalam liuk lentuk lanskap dasar laut yang indah.
Kita berfikir tentu disebalik dunia fizikal ini ada juga tali ghaib. Ia menggerakkan manusia di sebalik seluruh kelakuan fizikal mereka. Di sanalah terdapatnya ruang doa, daerah aura, sentuhan lembut kasih. Semua ini contoh tali temali yang menggerakkan manusia tanpa mereka sedari.
Seorang anak yang lama menyepi diri tiba-tiba terpanggil pulang ke ribaan ibunya membawa sekeping hati mengemis kemaafan. Sebenarnya sebelum hari itu, hati ibunya terkocak dan lautan rasa keibuannya membuak. Rasa ibunya itulah tali yang menariknya pulang!
Seorang hamba Allah yang lalai dengan dosa, tiba-tiba pulang mengetuk pintu Tuhan. Kembali dengan sejuta keinsafan. Apa yang menggerakkan hidayah Tuhan ini?
Langkah ini adalah daripada doa orang tua masa lampau yang berdoa untuk kebaikan zuriatnya. Doa mereka menjadi tali yang menarik hamba ini kepada Tuhan.
Justeru dalam hidup ini disamping segala usaha dan ikhtiar, gunakanlah tali temali ini. Marilah mengikhlaskan niat, sentiasa menadahkan tangan memanjatkan doa buat anak, pasangan, saudara serta seluruh dunia agar tali halus ini sentiasa menarik mereka agar jangan tersasar dari laluan hidup sebenar. Biarlah ia menjadi penggerak hidup dengan irama kebaikan berpanjangan merentasi zaman.
Berikanlah sentuhan lembut, limpahan kasih dan kita tentunya bukan lebih terkebawah berbanding ibu penyu dengan aura ajaibnya!
Oleh Ustaz Zul Ramli M Razali-U Turn Ke Jalan Lurus
No comments:
Post a Comment