Tuesday, March 1, 2011

najis tahi cicak

Pernah sekali sewaktu menyampaikan kuliah maghrib, saya membuka bicara dengan sengaja menanyakan soalan yang nampaknya mudah. Saya bertanya kepada ahli jemaah surau:

“Apakah hukumnya jika setelah mengambil wudhuk, tiba-tiba anggota badan kita terkena najis, iaitu tahi cicak. Maka apakah yang perlu kita lakukan, adakah batal wudhuk kita atau tidak?”

Menariknya, antara jawapan yang diberikan ialah, batal wudhuk orang yang terkena najis tahi cicak itu. Mereka kena berwudhuk semula dan bla…bla… alasannya, kerana orang itu telah tersentuh najis.

Saya tersenyum. Teringat semasa saya remaja dahulu, pernah saya masuk ke dalam surau dan kaki saya terkena tahi cicak. Bukan maih marah lagi saya. Mana tidaknya, saya harus keluar dan membasuh najis itu dan mengambil wudhuk semula.

Nak jadi cerita, masuk ke surau dan kena lagi tahi cicak… Amboiii, surau mana le ni ya…bersih sungguh, sehinggakan najis tahi cicak bertaburan di mana-mana… Cuba bayangkan, kena membasuh najis, ambil wudhuk lagi…bukankah sudah membazir masa dan tenaga, bahkan membazir air juga!

Sebenarnya, inilah masalah segelintir umat Islam. Jawapan mereka bahawa harus mengambil wudhuk semula tersebut, sebenarnya bukan sahaja datangnya daripada surau yang berkenaan sahaja, bahkan orang lain pun mungkin memberikan jawapan yang sama.

Mungkin kita tersilap dalam membezakan di antara status najis dan kesannya kepada diri kita. Memang najis wajib dibasuh, kerana ia memang najis. Tetapi, ia tidak membawa kepada batalnya wudhuk kita. Melainkan kita dalam solat, apabila terkena najis atau datangnya najis dan mengenai tubuh atau pakaian kita, maka yang batal adalah solat tersebut; bukannya wudhuk.

Cubalah semak, apakah perkara-perkara yang membatalkan wudhuk. Adakah bersentuhan dengan najis membatalkan wudhuk? Jawapannya tidak. Maka, kenapa harus berwudhuk. Fikir-fikirkanlah…


disedut daripada blog ustaz hamizul

3 comments: